Isnin, 14 Februari 2011

ku berlari::

Terkadang kita berlari terlalu jauh. Terlalu jauh hanya kerana ingin melepaskan diri daripada sebuah realiti. Hanya kerana ingin melupakan semua rasa yang pahit-pahit, luka yang sakit-sakit dan ingatan yang perit-perit.

Kita berlari. Berlari dan teruskan berlari sehingga kita tinggalkan diri kita yang sebenar jauh di belakang.
Tiba di suatu suatu penghujung, kita jatuh tersepuk. Kita menangis sendiri.

Hati masih lagi mahu berlari, tetapi zahir tidak lagi memberikan keizinan. Kita rasa sangat letih. Letih yang teramat sangat.

Fikiran bercelaru. Mahu diteruskankah pelarian ini, atau kembali semula ke pangkal jalan?

Kerana jika teruskan berlari, kita akan terus sesat dan boleh jadi nanti, tiada lagi jalan untuk berpatah balik. Dan jika kembali semula ke pangkal jalan, sanggupkah kita mendepani semua yang pahit-pahit, yang sakit-sakit dan yang perit-perit itu?

Terkadang kita mencari. Mencari dan mencari. Tetapi kita turut rasa hati yang selalu menyuluh ke jalan yang bukan sepatutnya. Kita ikut kata nafsu yang selalu membawa kita ke jalan yang bukan sepatutnya.

Di suatu saat, kita rasa amat lelah. Di kiri dan kanan, sudah tiada siapa-siapa lagi. Teman, sahabat karib, saudara, semuanya tiada. Hanya kegelapan dan kelam malam yang menyelubungi diri.

Kita sebenarnya sendirian.

Di luar kita nampak seperti gah, ketawa sampai lupa segala. Tetapi hakikatnya, kita terlalu sombong untuk mengakui betapa sunyinya diri kita. Kita tolak kebenaran yang datang. Kita benci kebaikan yang cuba datang menyelamatkan.

Kita lari, lari dan lari.

Barangkali kita perlukan masa untuk bersendirian. Beruzlah, bercinta dengan diri sendiri. Menilai kembali ke mana hala tuju diri. Tujuan kehidupan. Asal-usul penciptaan. Kembali kepada Yang Satu.

Bila hati itu sudah redha, mata akan mula melihat satu-persatu kepincangan diri. Dan betapa yang kita cari-cari selama ini hanya berada di depan mata. Tetapi kita tidak nampak.

Kerana kita terlalu sombong. Dan bongkak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan